SYARIKAT perbankan gergasi Amerika, JP Morgan,
telah mengalami kerugian dagangan derivatif mengejutkan yang bernilai
AS$2 bilion ($2.5 bilion).
Kejutan tersebut dijangka meningkatkan lagi perdebatan mengenai perlunya kawalan bagi menyekat dagangan oleh bank-bank.
Kerugian itu adalah bagi portfolio derivatif yang direka dan dihasilkan bagi membantu mengawal risiko JP Morgan.
Ketua Eksekutif, Encik Jamie Dimon,
berkata kerugian itu berpunca daripada operasi dagangan yang 'mempunyai
kelemahan' serta 'tidak dilaksanakan dengan baik', menurut laporan
Reuters semalam.
Dalam satu sidang menerusi panggilan
telefon, Encik Dimon mendedahkan bahawa bank itu mungkin berdepan
dengan kerugian bernilai lagi AS$1 bilion sehingga akhir Jun ini
disebabkan oleh pasaran yang tidak menentu.
'Ia boleh menjadi lebih buruk pada suku ini,' kata beliau kepada para pengamat dan wartawan.
Kerugian tersebut berlaku selama
enam minggu lalu dalam unit pengurusan risiko bank itu di Pejabat
Pelaburan Utama (CIO) di New York, dan melibatkan dagangan dalam produk
'credit default swaps'.
CIO mendagangkan aset bank dengan tujuan melindunginya daripada risiko lain yang diambil bank itu dalam pelaburannya.
Tetapi Encik Dimon menyifatkan strategi CIO itu sebagai 'rumit, tidak dinilai dengan baik dan tidak dilaksanakan dengan baik'.
'Ini adalah kesalahan yang dahsyat.
Ia disebabkan oleh diri sendiri dan ini bukanlah cara kami mengendalikan
sebuah perniagaan,' tegas Encik Dimon.
Saham JPMorgan merosot hampir 7 peratus semasa sesi perdagangan lewat semalam.
Kerugian itu adalah satu tamparan
hebat kepada Encik Dimon - salah seorang tokoh terkenal di Wall Street -
serta memalukan bank itu, yang berjaya muncul lebih mantap berbanding
pesaingnya lain selepas krisis kewangan 2008.
Menurut beliau, kerugian itu
mempunyai kaitan dengan satu laporan Wall Street Journal bulan lalu
tentang seorang pedagang yang diberi nama London Whale dan dipercayai
menyebabkan kerugian besar dalam dagangan derivatif syarikat tersebut.
Bank itu menjangka mencapai keuntungan sebanyak AS$200 juta pada suku tahun ini.
No comments:
Post a Comment