SELEPAS
18 tahun memperhambakan diri memasak moussaka dan kambing panggang di
sebuah restoran di sekitar Greece, Petros Papadopoulos menyediakan pula
makan tengah hari untuk 50 orang di tempat yang tidak pernah dibayangkan
selama ini. Ia merupakan kawasan kediaman golongan gelandangan di
Athens.
Chef
bersuara lembut yang mengaku tidak memberikan nama sebenar kerana
khuatir jika rakan dan sanak-saudara akan mengetahui keadaannya itu,
baru sahaja membeli sebuah rumah flat dan berhasrat untuk membina
keluarga selepas impiannya dimusnahkan oleh krisis ekonomi yang melanda
Greece.
Pada
tahun 2010, dia kehilangan kerja berikutan kemelesetan ekonomi terburuk
di Greece sejak sedekad lalu dan ribuan rakyatnya hilang pekerjaan.
Malah,
lebih teruk apabila dia tidak lagi mampu menguruskan hartanya hingga
menyebabkannya kehilangan kediaman dan dipaksa merayau-rayau di
jalanan.“Saya rasa seperti hidup dalam filem. Hidup saya berubah 180
darjah. Saya gagal. Hidup di jalanan tidak tertanggung,” kata
Papadopoulos, sambil menggayakan tangannya untuk mengingati kembali
bagaimana dia bersusah-payah mencari tempat tidur di dalam bangunan yang
ditinggalkan.
Pihak
berwajib memberitahu, jumlah orang gelandangan di Greece semakin
meningkat iaitu antara 20 hingga 25 peratus dalam setahun dua ini. Ia
merupakan satu peningkatan yang mendadak di negara tersebut apabila
orang dewasa yang sering menetap bersama keluarga dan wang pencen
biasanya digunakan untuk menampung kehidupan.
Statistik
menunjukkan kebanyakan negara Eropah menjunam kerana kemelesetan
ekonomi dan langkah penjimatan yang diamalkan kerajaan, selari dengan
peningkatan penganggur, kekurangan rumah mampu milik dan pemotongan
faedah sosial memaksa ramai orang melangkaui jangkaan dan memberi kesan
kepada individu yang merasakan mereka kebal.
Gelandangan
Papadopoulos,
40, tidak percaya dengan apa yang dialaminya. Dia seorang seorang chef
yang berjaya dan dikenali terpaksa mencari tempat tidur sebelum dia
menemui katil di sebuah rumah perlindungan. Dua adiknya yang merupakan
ahli keluarga terdekat turut menjadi mangsa kemelesetan ekonomi hingga
tidak berdaya untuk membantunya lagi.
“Saya
tidak pernah menjangkakan semua ini berlaku pada saya. Saya kemudian
sedar betapa hidup ini seumpama roda. Ia boleh berlaku kepada sesiapa
sahaja. Kita semua ada potensi untuk menjadi orang gelandangan,” tegas
Papadopoulos.
Berbanding
dengan klise yang sering mengaitkan orang gelandangan dibelenggu
masalah mental dan dadah, Papadopolulos adalah sebahagian daripada
generasi baru Greece. Dia tergolong dalam kalangan mereka yang menjadi
mangsa kepada pemotongan faedah untuk menangani krisis hutang negara.
“Populasi
orang gelandangan telah berubah,” kata Aris Violantzis, seorang ahli
psikologi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Klimaka.
“Ia
biasanya melibatkan orang pertengahan umur dalam tahun-tahun produktif
yang memikirkan bahawa segala-galanya akan berjalan lancar dan mereka
membuat perkara yang betul. Sebaliknya, apa yang berlaku membuatkan
mereka rasa tertipu.”
Di
kawasan penempatan gelandangan Klimaka, lebih kurang 50 orang
kebanyakannya lelaki kelihatan berbual, bermain backgammon atau menonton
televisyen sementara menanti masa untuk makan pasta dan daging yang
dimasak oleh Papadopoulos dihidangkan di atas pinggan plastik.
Golongan pertama yang akan ditemui jika memasuki kawasan itu ialah mereka yang sebelum ini bekerja dalam sektor pembinaan.
Lambros,
seorang pembancuh simen tidak akan memberitahu sanak-saudara yang dia
terpaksa tidur di dalam kereta selama tiga bulan selepas dipecat Krismas
tahun lalu, sebelum menemui tempat berteduh di kawasan perlindungan
itu.
“Saya
tidak mahu mereka mengetahuinya. Saya rasa teruk, begitu juga mereka,”
tutur lelaki berusia 55 tahun itu dengan linangan air mata.
Kemiskinan
telah meningkat secara mendadak di jalanan bandar Athens yang mempunyai
populasi penduduk seramai empat juta orang. Orang ramai bersesak-sesak
di dalam beg-beg tidur di lorong sunyi dan mereka dilihat mencari-cari
sisa makanan, besi buruk atau kaca di dalam tong-tong sampah untuk
dijual.
Zon Kelabu
Klimaka
menganggarkan populasi yang tinggal di jalanan di Greece telah
meningkat kepada 25 peratus iaitu 17,000-20,000 sejak dua tahun lalu.
Dengan jumlah penganggur di Greek yang kini mencecah 16 peratus,
generasi gelandangan baru ini datang dari segenap lapisan masyarakat.
“Keluarga
dan masyarakat kini sedang menderita. Saya tidak pernah melihat situasi
sebegini sebelum ini. Ia seperti hidup seseorang itu ditentukan oleh
dirinya sendiri,” ujar Violantzis.
Di
seberang laut Ionian di Itali, yang memperkenalkan penjimatan untuk
mengatasi krisis fiskal, pekerja kebajikan menceritakan kisah yang sama
untuk golongan gelandangan dan memberitahu perpaduan keluarga di sana
menjadi tegang.
“Lebih
ramai orang di dalam zon kelabu yang tidak hidup dalam kemiskinan
melampau tetapi tidak mempunyai wang yang cukup daripada gaji bulanan
seperti keluarga ibu tunggal dan orang-orang tua,” kata Francesca
Zuccari dari badan kebajikan Sant Egidio.
Kumpulan
pembasmi kemiskinan yang paling aktif di dalam negara, badan Katholik
Caritas melaporkan terdapat kenaikan sebanyak 25 peratus bagi orang yang
datang meminta bantuan daripada mereka antara tahun 2009 dan 2010.
Keadaan itu juga membuatkan ramai yang bercerai dan menjadi duda.
“Ramai
orang berpisah dan krisis ekonomi telah mengurangkan pendapatan,
meningkatkan penganggur dan memburukkan situasi perumahan,” kata
jurucakap Caritas, Renato Molinaro.
Golongan
lemah seperti pendatang asing dan remaja akan menerima risiko yang
teruk di sekitar Eropah, kata NGO persekutuan Eropah yang berkhidmat
untuk golongan gelandangan, Feantsa.
“Semakin
ramai orang yang menyangka terlepas daripada musibah gelandangan kini
berada di sini,” ungkap Karolina Krzystek, pegawai polisi Feantsa.
Kebanyakan mereka menumpang tidur di rumah rakan yang terdiri daripada
flat yang penuh sesak.
Krisis hutang
Di
Sepanyol yang memiliki jumlah penganggur paling tinggi dalam Kesatuan
Eropah (EU) iaitu lebih 21 peratus dan bertindih dengan ukuran ketat
untuk mengelakkan mata wang euro menjunam, bilangan orang gelandangan
yang pergi ke pusat perlindungan meningkat kepada 15.7 peratus dari 2008
ke 2010, demikian menurut data rasmi.
Bagaimanpun,
isu itu tidak hanya terhenti di negara-negara yang mengalami krisis
hutang mata wang euro. Jumlah keluarga bergelandangan di Britain, salah
satu negara yang bukan di dalam zon euro, meningkat daripada 10 kepada
44 peratus kepada 44,160 isi rumah tahun lalu. Ia merupakan peningkatan
pertama sejak 2004.
Isu
terbesar di Britain, yang memulakan penjimatan tahun lalu adalah
kekurangan rumah mampu milik, kata jurucakap wanita badan perlindungan
kebajikan golongan gelandangan.
“Makin
ramai yang tidak mampu memiliki rumah dan sewa semakin meningkat.
Pemotongan manfaat rumah telah membuatkan ramai yang hidup dalam keadaan
susah yang melampau,” ujarnya lagi.
Kekurangan
rumah yang kronik dan peningkatan pengangguran yang tinggi juga
menyumbang kepada masalah itu di Perancis yang disenaraikan oleh
Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan sebagai negara
kebajikan paling pemurah di dunia.
Pengurus
Yayasan Abbe Pierre dan seksyen sosial Palang Merah Perancis, dua
organisasi yang menguruskan hal orang gelandangan di negara berkenaan
memberitahu, jumlah gelandangan telah meningkat dari 130,000 ke 150,000
pada awal tahun 2011, iaitu lebih 100,000 dari tahun 2008.
Sukarelawan
palang merah, Didier Piard memberitahu ia suatu peningkatan mendadak
sejak tahun 2007 dalam tiga kategori iaitu kejatuhan remaja ketika waktu
sukar sebaik meninggalkan rumah, orang pencen yang kekurangan kuasa
beli dan pencari suaka politik.
“Kebanyakan
mereka tidak berada dalam radar kami sebelum ini, yang bekerja
berterusan sepanjang hidup mereka. Bagi golongan pencen, tiba-tiba
mereka mendapati mereka hidup dalam jumlah yang kecil, tidak berupaya
untuk menampung hidup dengan kadar sewa bil-bil dan makanan yang
tinggi,” tegasnya. – AFP
No comments:
Post a Comment