Menyoroti cadangan,pandangan dan wawasan Pemimpin Besar Tun Dr. Mahathir ketika menjadi PM Malaysia. Betapa rakyat Malaysia merindui kepimpinannya.
Oleh Fadzil Abd Rashid
Kuala Lumpur -- Idea dinar emas cetusan ilham Perdana Menteri, Dato Seri Dr Mahathir Mohamad memang tidak disenangi penyangak mata wang dan pakar kewangan konvensional rakus kerana ia bukan sekadar mengurangkan kekayaan mereka tetapi boleh membawa kepada penyatuan negara-negara Islam.
Apabila semua negara Islam sepakat menggunakan dinar emas, system kewangan konvensional yang dikuasai melalui penggunaan Dolar Amerika akan tergugat dan inilah yang dikhuatiri penyangak dan saudagar kewangan konvensional yang berfikiran sempit.
UMNO-Online difahamkan Bank Pembangunan Islam (IDB) dengan kerjasama Sekretariat Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sedang membuat penelitian terperinci bagi penggunaan dinar emas dalam system jual-beli serta penggunaan di peringkat antarabangsa.
UMNO-Online difahamkan Bank Pembangunan Islam (IDB) dengan kerjasama Sekretariat Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sedang membuat penelitian terperinci bagi penggunaan dinar emas dalam system jual-beli serta penggunaan di peringkat antarabangsa.
Sesungguhnya Malaysia berjaya mencorak satu lagi usaha menyatukan dunia Islam menggunakan system kewangan yang unik serta amat berpotensi mengelak penggantungan terlalu ketat bersama system kewangan sedia ada yang didominasi pihak berkepentingan.
Menurut sumber OIC di Riyadh, Arab Saudi perbincangan secara tidak rasmi sentiasa dilakukan pakar-pakar kewangan Islam khususnya di kalangan IDB, OIC serta pembabitan pakar perbankan Islam dari Eropah.
Persidangan OIC di Kuala Lumpur Oktober tahun depan memasukkan agenda ini sebagai topik perbincangan utama.
Pandangan dan syor Dr Mahathir amat berwibawa sekali, beliau banyak memberikan ilham dan mendorong kepada penyatuan negara Islam sejagat, katanya untuk UMNO-Online dari Riyadh.
Dalam perkembangan lain, pemimpin Arab juga bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir bahawa tindakan agresif Amerika Syarikat terhadap Iraq tidak akan menyelesaikan masalah di Asia Barat.
Jika Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasanya untuk menyingkir Presiden Saddam Hussein, saya rasa ia tidak dapat menyelesaikan masalah di Asia Barat. Sebaliknya, akan menyemarakkan lagi keganasan.
Ada isu lain yang lebih besar di Asia Barat, iaitu pencerobohan haram oleh Israel terhadap Palestin. Rakyat Palestin tidak boleh berbuat apa-apa kerana Israel mendapat sokongan penuh Amerika Syarikat.
Jika masalah pokok tidak diselesaikan, saya rasa perubahan tidak dapat dibuat di Asia Barat, kata Dr Mahathir dalam temu ramah dengan wartawan Arab News semalam dan dipetik beberapa akhbar berpengaruh di Arab Saudi, Iran, Libya Dan Mesir.
Perdana Menteri juga menegaskan bahawa keganasan akan berterusan kecuali ketidakadilan diperbetulkan dan hak rakyat Palestin dikembalikan.
Mengenai serangan 11 September, Dr Mahathir berkata, ketika AS sangat marah, umat Islam juga marah dan berikutan itu adalah penting untuk mengenal pasti punca di sebalik kejadian tragik itu.
Dr Mahathir juga berkata, perbankan dan kewangan Islam akan menghadapi masalah berikutan apa yang beliau panggil sebagai dasar balas dendam berterusan oleh kerajaan AS.
Bagaimanapun, beliau menggesa dunia Islam bersatu dan menerima idea menggunakan dinar emas atau berdagang sesama sendiri.
Jika anda menggunakan dinar emas, anda akan mengurangkan dominasi dolar Amerika, katanya.
Beliau juga kesal kerana negara Islam tidak serius menyelesaikan masalah politik dan ekonomi mereka walaupun setengahnya mempunyai kekayaan. Perdana Menteri juga yakin negara Islam mampu menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang boleh merangsang ekonomi mereka.
Katanya, apabila spekulator mata wang, George Soros menyebabkan kekalutan di Asia Tenggara pada 1997, Malaysia mengalami kesan teruk yang bukan saja mengucar kacirkan ekonomi, malah menyebabkan kejatuhan teruk sektor pelancongan.
Kita mengambil langkah ketat dan menyimpan semua rekod transaksi tukaran mata wang asing supaya menyukarkan spekulator menyerang negara, katanya.
Ditanya mengenai peranannya dalam pertikaian Pakistan dan India terhadap Kashmir, Dr Mahathir berkata tidak kerana India tidak menerima pihak ketiga mencampuri hal ehwal dalaman negaranya.
Pada masa sama beliau menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan resolusinya mengenai Kashmir.
Mengenai sama ada akan menerima tawaran menjadi pengerusi Pertubuhan Negara Islam (OIC) selepas persaraannya November tahun depan, Dr Mahathir berkata, beliau lebih suka menghabiskan masa bersama cucu tetapi sentiasa bersedia menabur bakti kepada agama dan umat Islam.
dipetik dari www.umno-online.com
No comments:
Post a Comment