Tuesday, June 21, 2011

TAMBATAN RINGGIT TINGGAL KENANGAN... DINAR & DIRHAM JADI SANDARAN

Mantan Perdana Menteri kita Tun Mahathir Mohamed merupakan seorang pemikir unggul yang tiada tolok bandingan. Selama 23 tahun beliau menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia pelbagai idea telah beliau curahkan demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

"Kita tidak perlu menghentikan tambatan ringgit kerana kebanyakan negara di dunia sekarang menentukan nilai mata wang mereka mengikut undang-undang”.
"Oleh kerana kita tiada kuasa untuk menentukan nilai ringgit dan memilih untuk memberhentikan tambatan ringgit, kita kena terimalah bahawa kita tidak merasai apa-apa manfaat daripada pengukuhannya."
“Malaysia sebenarnya mengambil langkah kebelakang apabila membenarkan nilai ringgit ditentukan oleh pasaran terbuka.”
"Di dalam perang mata wang hari ini, kita hentikan (menambat ringgit) sedangkan orang lain melaksanakan tindakan yang kita pernah buat dahulu"...
Tun Dr. Mahathir Mohamed

Dalam banyak-banyak cetusan ilham dan idea beliau membangunkan negara, dua daripadanya cukup berbekas dan berkesan di hati kita. Namun sayangnya kedua-dua idea tersebut satu daripadanya sudah pun tinggal kenangan manakala yang satu lagi masih berlegar-legar menanti saat untuk diterjemahkan semula menjadi nyata.

Kini sama ada kita sedar atau tidak selepas 8 tahun berlalu, inisiatif penggunaan dinar di antara negara-negara Islam masih gagal untuk direalisasikan. Sememangnya ia agak sukar untuk dilaksanakan kerana sistem kapitalis barat telah lama meresap masuk dan menguasai kehidupan kita sejak sekian lama.

Namun kegagalan Tun Mahathir memperluaskan gagasan penggunaan Dinar di kalangan 57 negara Islam seharusnya menjadi pedoman dan pembakar semangat untuk kita terus berjuang memperkenalkan penggunaan dinar dan dirham di peringkat akar umbi. Biarlah usahanya nampak kecil asalkan hasilnya nanti membuahkan hasil kejayaan.. itulah yang terbaik untuk kita lakukan ketika ini. Bak kata pepatah sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Jika kita gagal di peringkat global, kita masih boleh melakukannya di negara kita sendiri secara kecil-kecilan menerusi individu dan pelbagai syarikat persendirian yang berjuang mengembalikan kedaulatan wang sunnah ini.

Gelombang kebangkitan dinar dan dirham sebenarnya telah lama bermula. Ada maklumat yang menyatakan Dinar Emas digunakan secara persendirian di lebih 22 buah negara. Dinar Emas sekarang ditempa di empat negara. Di keempat-empat negara itu juga sudah wujud perniagaan jual beli Dinar dan Dirham melalui internet. Hal tersebut membuktikan bahawa dinar dan dirham telah mula berkembang dari masa ke semasa tanpa kita sedari dan ianya adalah sesuatu yang positif. Gelombangnya boleh diibaratkan seperti ombak tsunami di dasar lautan yang tidak kelihatan tetapi impak dan kesannya amat ketara apabila ia sampai ke daratan. Begitulah yang akan berlaku kepada dinar dan dirham ini. Apabila tiba masanya nanti ia akan membadai dan mencuci bersih segala kekotoran yang terhasil akibat sistem kewangan palsu ciptaan kapitalis ini.

Hakikat ini diakui sendiri oleh Jude Wanniski seorang pemerhati perkembangan pasaran kewangan dan pakar 'supply-side economics'. Menurut beliau “Dengan dinar emas Islam, saya menjangka, dunia Islam akan mempunyai matawang terbaik di dunia”. Bahkan beliau sendiri tertanya-tanya ke mana hilangnya idea unggul Tun Mahathir untuk mengembalikan dinar emas ini selepas mengundurkan diri pada 2003. "But after a few speeches and press releases on this subject, he (Tun Mahathir Mohamad) has disappeared, practically dropping out of sight." ('Where Is That Gold Dinar?' by Jude Wanniski- Aljazeera.net, 24 November 2004).

Pertanyaan itu memberikan gambaran seolah-olah idea untuk menggunakan dinar emas seperti telah dilupakan sama sekali oleh peneraju kepimpinan baru Malaysia. Sudahlah tambatan ringgit pun dimansuhkan, gagasan hebat dinar emas juga mahu dilupakan. Adakah kerana kerajaan takut kepada larangan IMF untuk menggunakan emas sebagai matawang atau sengaja buat-buat tak tahu dan tidak berminat untuk mengembangkan syiar matawang Islam yang unggul ini.. wallahualam.

Walau apapun yang terjadi umat Islam seluruh dunia tetap akan menang dalam ‘peperangan’ ini. Tetapi peperangan kapitalisme ini memerlukan kita mempunyai ‘senjata’ yang berlainan. Untuk menang dan mengatasi sistem kapitalisme ini umat Islam mesti mengangkat ‘senjata’ dinar dan dirham sekaligus memartabatkan penggunaannya di peringkat global. Jika pihak kapitalis menggunakan wang kertas fiat dan wang digital sebagai alat ekonomi, umat Islam tidak kira di negara Islam mana sekalipun di dunia ini mesti menggunakan dinar dan perak sebagai alat untuk bermuamalat sekaligus mengukuhkan ekonomi.

Justeru usaha individu dan syarikat persendirian di Malaysia yang bersungguh-sungguh memperkenalkan penggunaan dinar dan dirham adalah amat dipuji dan dialu-alukan. Semoga tindakan tersebut akan dicontohi oleh rakyat negara-negara Islam yang lain. Teruskan berjuang untuk mendaulatkan penggunaan wang sunnah dwi-logam ini. Sekuat mana pun sistem kewangan kapitalis ini, ia tetap akan runtuh jua suatu masa nanti. Kekuatannya boleh diibaratkan seperti kuatnya jaringan sarang labah-labah. Sarang labah-labah secara fizikalnya nampak besar dan menakutkan malah boleh menutup pintu gua yang luas, namun hakikatnya ia begitu rapuh sekali. Begitulah ibaratnya sistem kewangan kapitalis hari ini.

Biarpun ketika ini penggunaan dinar dan dirham masih lagi asing di kalangan masyarakat, namun tidak mustahil suatu hari nanti penggunaannya akan meluas seperti mana ramainya orang menggunakan wang kertas pada masa ini. Percayalah kita akan kembali kepada fitrah asalnya menggunakan dinar dan dirham. Hanya masa yang akan menentukan saat kebangkitan dinar dan dirham. Wallahualam.

No comments: