Tuesday, June 21, 2011

SARANAN SALLEH: Apakah kemungkinan satu lagi krisis kewangan?

MARK Mobius, Pengarah Urusan Templeton Fund Inc. dalam satu ucapannya baru-baru ini di Hong Kong menyatakan kemungkinan satu lagi krisis kewangan akan berlaku.

Ini katanya, disebabkan dunia tidak menyelesaikan sepenuhnya kesan daripada krisis kewangan yang berlaku pada 2008 dahulu.

Apa yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) umpamanya adalah menerbitkan Kemudahan Kuantitatif (Quantitative Easing) 1 dan 2 bertujuan membeli Bil Perbendaharaan negara sendiri.

QE2 ini akan berakhir tidak lama lagi dan pasaran tidak pasti sama ada akan ada QE3 nanti. Suatu reka bentuk kewangan yang banyak diperkatakan untuk mengubah keseluruhan struktur kewangan antarabangsa tetapi kurang daripada apa yang sepatutnya dilakukan.

Pihak AS cuma merangka sesuatu yang melibatkan institusi kewangan yang paling sensitif dengan sesuatu krisis.

Perkara yang banyak menyebabkan krisis 2008 dulu iaitu pasaran derivatif yang sewajarnya diwujudkan suatu sistem pantauan yang boleh mengesan keseluruhan dagangan derivatif dari segi bentuk dan saiz dan institusi-institusi yang terlibat.

Ramai yang menyatakan apa yang menyebabkan keruntuhan sistem kewangan pada 2008 sehingga menyebabkan syarikat yang sudah lama wujud seperti Bear Sterns dan Lehman Brothers muflis ialah sifat tamak manusia.

Memanglah sifat tamak manusia tidak dapat diubah kerana kalau tidak kerana gempa bumi di Kobe dulu, Nick Leeson daripada Baring Brothers akan menjadi seorang wira.

Oleh itu, sistem pemantauan wajar diwujudkan kerana terlalu instrumen kewangan yang pelbagai jenis yang canggih dan tidak boleh difahami oleh pihak pengawal selia sendiri.

Kini semasa AS masih bergelut dengan memulihkan ekonominya, Greece mungkin mencetus suatu krisis kewangan di peringkat global ekoran kegagalan mereka memenuhi syarat yang ditentukan oleh Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan Kesatuan Eropah.

Program pemotongan kerajaan Greece sebanyak 28 bilion Euro telah menimbulkan huru-hara di kalangan rakyat mereka. Tanpa pemotongan perbelanjaan itu, IMF dan EU tidak mahu memberikan bantuan kewangan.

Khamis lalu, pelabur di seluruh dunia melahirkan kebimbangan mereka dan kebanyakan pasaran saham di dunia mengalami kejatuhan yang teruk termasuk kejatuhan mata wang Euro.

Sebenarnya apabila sesuatu krisis kewangan berlaku kita akan melihat pelbagai langkah diambil kononnya untuk mengelakkan daripada berlakunya krisis di masa hadapan.

Malangnya apabila keadaan nampak agak tenang dan stabil sedikit, segala usaha-usaha untuk meletakkan suatu struktur kewangan antarabangsa diabaikan.

Apa yang berlaku dengan Greece akan mengheret banyak institusi dan negara ke arah kancah ketidakstabilan. Walaupun Perdana Menterinya mengumumkan suatu susunan Kabinet baru, ini tidak nampak akan menyelesaikan masalah kewangan Greece.

Baiknya tidak ada institusi kewangan kita yang terlibat dengan bon-bon dan instrumen yang diterbitkan oleh kerajaan Greece dan dari segi itu kita tidak akan mengalami masalah.

Bagaimana pun kalau negara-negara di Eropah mengalami masalah ekoran daripada masalah Greece, dari segi dagangan kita akan terlibat.

Kalau berlaku suatu lagi krisis kewangan di peringkat global, kita sedikit sebanyak akan terkena juga tempiasnya.

Di kala dunia sedang berdepan dengan masalah menangkis inflasi dan kenaikan harga barang makanan, banyak negara yang tinggi pertumbuhannya seperti China dan India telah mempertingkatkan kadar faedah mereka dan ini dengan sendirinya akan memperlahankan pertumbuhan di merata tempat.

Bagi negara kita, ini bererti kemungkinan aliran pelaburan asing akan berkurangan.


DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).


p/s:
Bila sebut jer pasaran derivatif... teringat kat Warren Buffet. Pakcik Buffet pernah mengatakan bahawa pasaran derivatif adalah senjata pemusnah kebinasaan kewangan dan ia sepatutnya diharamkan.


Pakcik Buffet juga menganggapnya seperti jin hehehe.. katanya "Sepatutnya jin itu dibiarkan dalam botolnya.. tetapi kini ia telah bebas dan hanya Tuhan sahaja yang tahu kerosakan yang akan dilakukannya kepada dunia... apabila ia berlaku harga emas akan naik meningkat secara mendadak". 


Kemudahan Kuantitatif (Quantitative Easing) 1 dan 2 juga adalah petanda kehancuran ekonomi US.. ada pihak mengatakan ekonomi US akan musnah/collapsed pada QE 4.. sekarang baru QE 2, QE 3 bakal menjengah tak lama jer lagi... Wallahualam.

No comments: