Monday, February 6, 2012

'MASYARAKAT DI NEGARA CHINA SANGAT MENCINTAI EMAS' - PIHAK BANK MENDORONG WARGANYA UNTUK MEMBELI EMAS



Dengan penggunaan (consumption) emas di Negara China dijangka akan mengatasi India sebagai negara pengguna emas terbesar dunia dalam beberapa tahun akan datang, beberapa bank utama di negara berkenaan telahpun menikmati faedah yang besar apabila pelanggan berduyun-duyun mengunjungi bank-bank untuk mendapatkan produk emas terbaru mereka.
Penulis : Oleh Encik Rujun Shen (Reuters)
Diterbitkan :  Khamis , 19 Jan 2012

SINGAPORE (Reuters)  -  

Bagi eksekutif perkapalan di China, Encik Ping Bo membeli emas adalah jalan terbaik untuk melindungi kekayaan keluarganya dan sebagai persediaan masa depan untuk anak lelaki beliau yang kini berusia 10 tahun apabila dewasa kelak.

"Untuk anak lelaki saya, idea memiliki emas bertujuan agar ia boleh ditunaikan apabila beliau berusia 21 tahun kelak atau apabila beliau merancang berumahtangga," kata Encik Ping, salah seorang daripada 2 juta orang yang telah membuka akaun dalam tempoh 2 tahun lalu bertujuan untuk mengumpul emas di Bank Perdagangan dan Industri China  (ICBC).

Bank tersebut melancarkan akaun pemilikan emas dikalangan rakyat bermula pada tahun 2010. Emas yang telah dibeli jelas hanyalah sebahagian kecil dari permintaan di China, tetapi pertumbuhan mendadak bilangan pelabur yang mendaftar  adalah satu simptom atau tanda-tanda yang lebih luas terhadap minat tinggi untuk logam berharga di negara berpenduduk paling ramai di dunia.
China, dijangka akan memintas India sebagai negara pengguna emas terbesar dunia dalam tempoh beberapa tahun akan datang, menyumbang  23% daripada jumlah keseluruhan penggunaan fizikal emas dunia untuk tempoh 3 bulan pertama 2011 , meningkat 19% berbanding tahun 2010, menurut perangkaan Liga Emas Dunia (World Gold Council).

Peningkatan kekayaan dalam budaya tradisional masyarakat yang mencintai logam emas, ekonomi yang tidak menentu dan peraturan yang mudah di pasaran emas tempatan adalah 2 faktor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan pesat permintaan terhadap emas di China.


Akaun bank tersebut adalah salah satu pendekatan yang diketengahkan oleh Bank di China untuk membolehkan pelabur kecil seperti Encik Ping , capaian atau akses kepada pasaran emas negara.

Pelabur boleh membeli emas serendah 1gm sebulan melalui akaun tersebut, jumlah yang agak kecil tetapi semakin meningkat dengan drastik apabila golongan masyarakat pertengahan di negara berpenduduk paling ramai di dunia  tersebut mula sama melibatkan diri.


"Ia jelas satu kaedah yang hebat untuk saya memulakan usaha mengumpul fizikal emas," kata Encik Ping yang berasal dari Shanghai.
Akaun ICBC's telah menarik penyertaan 2.33 juta pelabur pada penghujung bulan November 2011, menurut pihak bank tersebut, hanya 19 bulan selepas dilancarkan melibatkan pembelian 22 tan emas yang disimpan di bank tersebut.

Bank Pertanian China berkata untuk produk yang sama yang dilancarkan pada bulan September, lebih 70,000 pelanggan telah mendaftar untuk membeli sekurang-kurangnya 1gm emas setiap bulan.

"Produk ini akan kekal mendapat sambutan selagi mana permintaan terhadap pelaburan emas fizikal terus berkembang di negara ini," kata pihak bank dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Reuters.

Keupayaan Bank-bank  di China untuk meneruskan pengaliran wang domestik dalam negara kepada bentuk pelaburan jongkong emas akan memainkan peranan penting dalam menyokong harga emas tahun ini, selepas harga pasaran emas dunia jatuh dari rekod tertinggi US$1,920/auns pada bulan September kepada US$1,660/auns pada Disember 2011.

"Masyarakat China amat menyukai dan mencintai emas," kata Encik Shi Xudong, Timbalan Ketua di Pejabat Pentadbiran Jabatan Logam Berharga di ICBC.

"Hakikat bahawa kerajaan mula memperkemaskan urusniaga pasaran emas memberi banyak kelebihan sekaligus memihak kepada perniagaan kami, bilamana pelabur yang sebelum ini membuat dagangan pada platform yang jelas menyalahi undang2 , kini perlu mencari platform pelaburan baru."

Beliau merujuk kepada kenyataan terbaru dari Bank Pusat China yang berjaya menghapuskan bursa pertukaran emas tidak formal yang beroperasi di luar dari Shanghai Gold Exchange dan Shanghai Futures Exchange.

ICBC, Bank perdagangan terbesar yang menguruskan pelaburan logam berharga di China berbanding bank lain, juga menawarkan pemilikan emas dalam bentuk sijil simpanan, sebagai alternatif kepada pelabur untuk membeli dan menjual emas tanpa melibatkan pemilikan dan penghantaran emas fizikal, dan membenarkan pelabur runcit membuat dagangan di Shanghai Gold Exchange melalui platform ini.

Dalam 11 bulan pertama 2011, pelanggan bank berkenaan membuat dagangan berjumlah 295 tan emas di Kontrak Emas Hadapan Shanghai (Shanghai gold forward contracts ) dan 615 tan dalam bentuk sijil simpanan emas.

Pada tahun 2011 , pihak bank telah menjual 50 tan produk emas fizikal dan 70 tan produk fizikal perak (Silver) , menurut  ICBC.

PERMINTAAN LOGAM EMAS DI CHINA AKAN TERUS MENINGKAT

Bagi tempoh suku tahun pertama 2011, permintaan terhadap barang kemas perhiasan di China melonjak  34% kepada  376.8 tan, sementara permintaan untuk syilling dan jongkong emas melonjak 89% kepada 204.1 tan, menurut data World Gold Council.

Encik Albert Cheng, Pengarah Urusan di  World Gold Council , Timur Jauh, menganggarkan jumlah keseluruhan penggunaan emas untuk barang kemas perhiasan akan meningkat kepada 500 tan , manakala permintaan terhadap pelaburan emas fizikal mencecah 250 tan pada tahun  2011, yang akan menyebabkan jumlah keseluruhan permintaan meningkat kepada sekurang2nya 18% berbanding tahun 2010.

"Pada tahun 2012, permintaan terhadap emas pelaburan dan barang kemas perhiasan akan mengekalkan pertumbuhan , walaupun pada kadar yang lebih rendah," Kata Encik Cheng dalam temubial bersama Reuters.

Beliau menganggarkan permintaan terhadap pelaburan emas akan tumbuh pada kadar  25-30%, manakala permintaan terhadap barang kemas perhiasaan pada kadar 6-10%, pada tahun 2012.

Jumlah dalam dagangan emas derivative atau pasaran hadapan mungkin akan menjadi 15 atau 20 kali ganda dari permintaan terhadap pelaburan emas fizikal, tambah Encik Cheng lagi.

Sebagai petanda kepada peningkatan permintaan untuk emas jongkong, import emas China dari Hong Kong telah meningkat lebih dari 3 kali ganda bagi tempoh 11 bulan pertama 2011.

China terkenal sebagai negara yang mempunyai kadar penjimatan tabungan dikalangan penduduk antara yang tertinggi di dunia. Masyarakat di China amat cermat berbelanja dan mereka mempunyai kadar tabungan simpanan antara yang tertinggi di dunia.

Hari ini masyarakat awam mereka berdepan dengan beberapa pilihan pelaburan. Dengan pasaran saham yang tidak menentu dan usaha berterusan kerajaan untuk mengekang spekulatif pasaran hartanah di negara tersebut, telah mendorong pelabur mencari alternatif pilihan pelaburan terbaik untuk diri dan keluarga mereka.


"Golongan pelabur di China sedang mencari kaedah terbaik untuk melindungi simpanan wang tunai mereka dari kadar faedah negatif ," kata Encik Nick Trevethan, Pegawai kanan strategi komoditi di ANZ Singapore.
"Satu portfolio simpanan pelbagai 'diverse saving portfolio ' jelas amat membantu."

(Additional reporting by Fayen Wong in SHANGHAI; Editing by Michael Urquhart and Simon Webb)

No comments: