
“Islam suruh umatnya hidup sederhana, tidak perlulah ada duit banyak-banyak. Buat apa nak jadi kaya.”
“Dalam Islam mana ada suruh umatnya jadi kaya-raya.”
Ini antara pendapat yang sering saya dengar bila saya mengajak kawan saya berbual tentang bisnes ataupun tentang kewangan. Memandangkan mereka memberi jawapan begitu, saya tidaklah berhasrat untuk bertengkar lidah.
Tetapi betulkah yang Islam tidak suruh umatnya jadi kaya? Mungkin ramai yang tersalah anggap tentang hidup para sahabat Nabi Muhammad.
Berapa agaknya jumlah kekayaan para sahabat Nabi
Mereka memang hidup bersederhana tetapi mereka sebenarnya tersangat kaya. Itu yang dinamakan zuhud. Zuhud bukannya bermaksud asal dapat hidup, itu sudah mencukupi. Zuhud bukannya menyuruh umat Islam menjadi miskin.
Tetapi Zuhud mengajar umatnya menjadi kaya tetapi hidup sederhana. Contoh paling mudah saya mampu berikan, walaupun harta seseorang itu membolehkannya membeli kereta berharga RM200,000 sekalipun tetapi dia tetap membeli kereta Proton Wira.
Sewaktu membuat persiapan untuk Perang Tabuk, Saidina Abu Bakar telah membelanjakan seluruh hartanya. Manakala Saidina Usman pula telah menyediakan persiapan lengkap 900 ekor unta dan 100 ekor kuda perang.
Kalau hendak dibandingkan dengan zaman sekarang, harga seekor kuda yang sudah dilatih untuh perang sudah mencecah sekurang-kurangnya RM20,000. Itu harga paling murah. Harga unta juga lebih kurang sama dengan harga kuda.
Kemudian cuba darabkan dengan jumlah kuda dan unta yang diberi oleh Saidina Usman; RM20,000 X 1000 = RM20,000,000 (20 Juta)
Tidakkah anda dapat bayangkan, itu baru 1/4 daripada harta Saidina Usman. Bayangkan berapa agaknya jumlah harta sebenar Saidina Usman.
Cuba kita fikirkan berapa pula agaknya harta Saidina Abu Bakar yang telah memberikan semua sekali hartanya. Bagaimana pula Saidina Abu Bakar akan meneruskan kehidupan selepas Perang Tabuk?
Faham betul-betul apa yang dimaksudkan oleh Saidina Abu Bakar apabila beliau ditanya oleh Nabi Muhammad tentang apa yang ditinggalkan untuk anak dan isterinya jika beliau mati syahid.
“Aku tinggalkan anak dan isteriku hanyalah Allah dan Rasulku,” jawab Saidina Abu Bakar.
Dalam ayat ini sebenarnya bermaksud, jika beliau mati syahid dalam medan perang, maka beliau minta agar anak dan isterinya berada di dalam jagaan Nabi Muhammad. Saidina Abu Bakar mempunyai bisnes yang mampu menjana passive income yang cukup besar.
Kerana itulah dia tidak risau untuk menginfakkan seluruh hartanya semasa Perang Tabuk tersebut. Lihat, para sahabat sendiri bukanlah seorang yang tidak berharta tetapi mempunyai harta yang banyak. Cuma mereka memilih untuk hidup sederhana.
Kesimpulan
Ramai mengatakan harta bukanlah satu faktor kekuatan umat Islam pada masa dahulu, tetapi sebenarnya memang tidak dinafikan kalau tiada sumber kewangan yang kukuh, mana mungkin tentera Islam dapat berperang dengan kelengkapan yang cukup.
Fikir-fikirkan.
No comments:
Post a Comment